Hujan di Petang Hari di atas Jalanraya Yang Sesak

11:22 AM


Keadaan jalan raya waktu petang di bandar besar seperti Kuala Lumpur, memang sesak dengan kenderaan 2 roda, 4 roda mahupun 10 roda. Tak lupa juga pada yang menggunakan pengangkutan awam seperti MRT,LRT dan juga bas. Hanya menggunakan 2 kaki.

Hujan di Petang Hari

Cuaca yang agak gelap boleh dilihat dari dalam ofis sementara aku di Subang. Hati berbelah bahagi sama ada untuk pulang dalam keadaan hujan atau pun tunggu sehingga hujan reda.

Memang cuaca semenjak 2 menjak ni senantiasa hujan di waktu petang. Jarang sekali hujan di waktu pagi. Dan memang dalam pepatah melayu ada mengatakan "ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari". Yang mana, tak ada kena mengena langsung dalam entri aku kali ni.

Federal Highway

Untuk pulang ke rumah aku yang terletak di Kajang, aku menggunakan laluan Federal Highway. Semua orang sedia maklum akan keadaan jalan di Federal Highway waktu petang. Tambah lagi pulak dengan cuaca hujan yang membasahi bumi. Kereta yang selaju Ferrari boleh jadi perlahan seperti Kancil.

Bagi pengguna motosikal macam aku, memang mudah untuk menyelit di antara kereta-kereta di sini. Cuma kadang-kadang perlu berhati-hati dengan pengguna kereta yang agak terlebih bijak untuk menukar lorong tanpa signal. 

Ramai juga pengguna motosikal yang aku lihat tersadai di bawah bumbung yang ada di Federal Highway, yang ada gambar payung dan sedikit air hujan tu. Seperti yang ada di kawasan Petaling Jaya. Mungkin terlupa nak bawa baju hujan agaknya.

Ada juga terlintas di hati aku ni untuk berehat sebentar di bawah bumbung sambil menyedut asap Rothmans of London. Tapi apa kan daya, perjalanan masih jauh untuk aku sampai ke rumah.

Dari Mid Valley ke Kajang

Lepas sahaja dari kawasan Petaling Jaya, hujan yang turun semakin lebat. Air hujan telah memasuki ke tempat-tempat yang sulit di badan aku. Tak selesa rasanya. Kasut aku tak payah nak di ceritakan. Umpama berjalan di sawah padi.

Pergerakan kereta agak terbatas. Sama juga dengan motosikal. Tidak mempunyai wiper di helmet visor. Keadaan trafik semakin mengecil untuk masuk ke Lebuhraya Timur Barat dan menjadi sesak sehingga ke Taman Desa.

Walaupun motosikal aku sudah mencecah lebih 10,000 km, keadaan brek masih berfungsi dengan cemerlang. 2 kali aku nak terbabas dengan kereta.

Dari Bandar Permaisuri ke Taman Connaught keadaan trafik menjadi sesak kembali. Aku singgah sebentar di stesen minyak BHP Taman Connaught untuk mengisi minyak motor dan membuang segala air yang tak diperlukan di dalam badan.

Lepas sahaja Taman Connaught dan memasuki ke kawasan Cheras sehingga ke Tol Grand Saga, aku dah lega. Sebab jalan raya kat sini tak begitu sesak seperti di Federal Highway.

Aku boleh memecut motosikal dengan 100km/h dalam keadaan hujan lebat. Motosikal aku terasa agak laju di sini, sampai kan Porche Cayenne dan Hummer H2 tertinggal 2 tiang di belakang.

Tak penting semua tu, yang penting aku selamat sampai di rumah dan laptop aku boleh berfungsi.

Dengan mengambil kira faktor jalanraya yang tak berapa nak rata dan keadaan pemandu-pemandu lain, memang aku rasa bawa motosikal dalam keadaan hujan di petang hari agak bahaya. Nak buat macam mana, demi mencari sesuap nasi yang halal, terpaksa redah juga walaupun hujan lebat.

You Might Also Like

0 comments